SHAH ALAM, 8 Jun 2026 — Yayasan Pendidikan Al Hasan (YPAH) sekali lagi berjaya melaksanakan Program Ibadah Korban 1447H/2026M dengan penuh amanah di Malaysia dan Kemboja, sekali gus meneruskan komitmen yayasan dalam menyantuni masyarakat menerusi ibadah korban.
Program yang dilaksanakan saban tahun ini bukan sekadar memenuhi tuntutan syariat, bahkan menjadi medium menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh nilai kebajikan serta membawa sinar kegembiraan kepada golongan yang memerlukan.
Pada tahun ini, sebanyak 8 ekor lembu dan 5 ekor kambing telah dikorbankan hasil penyertaan 40 orang peserta. Di samping itu, program turut menerima Sedekah Korban berjumlah RM1,989, yang digunakan bagi memperluaskan lagi manfaat kepada para penerima.
Melalui pelaksanaan program ini, seramai 3,985 orang penerima manfaat telah menerima agihan daging korban di dua buah negara.
🇲🇾 Malaysia – 2,225 penerima manfaat
Agihan telah disampaikan kepada:
- Golongan asnaf di Melaka.
- Guru serta kakitangan Tadika, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Maahad Tahfiz dan institusi di bawah Pusat Pendidikan Al Hikmah di Shah Alam dan Puncak Alam.
🇰🇭 Kemboja – 1,760 penerima manfaat
Agihan telah disalurkan kepada:
- Golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan di Kampong Treas, Wilayah Tbong Khmum, Kemboja.
Sepanjang pelaksanaan program, setiap proses bermula daripada penyembelihan, penyediaan sehingga pengagihan daging korban telah dilaksanakan secara teratur, telus serta mematuhi tuntutan syarak hasil kerjasama erat antara pasukan pengurusan YPAH, petugas lapangan dan rakan pelaksana di kedua-dua negara.
Kepercayaan yang diberikan oleh para peserta korban merupakan satu amanah yang amat bernilai. Justeru, YPAH sentiasa berusaha memastikan setiap ibadah yang diwakilkan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab agar manfaatnya benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
Program ini turut mencerminkan aspirasi YPAH dalam memperkasa pembangunan ummah melalui gabungan ibadah, pendidikan dan kebajikan. Di samping membantu meringankan beban golongan asnaf, pelaksanaan korban ini juga mengukuhkan budaya berkongsi rezeki, memupuk nilai kasih sayang sesama masyarakat serta menyemai semangat ihsan dalam kehidupan.
Allah SWT berfirman:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” — Surah Al-Hajj, ayat 37
Ayat ini mengingatkan bahawa hakikat sebenar ibadah korban bukan terletak pada nilai materialnya, tetapi pada keikhlasan hati, ketakwaan serta kesungguhan dalam melaksanakan perintah Allah SWT.
Pihak YPAH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh peserta korban, para penyumbang, petugas, sukarelawan serta semua rakan kerjasama yang telah bersama-sama menjayakan Program Ibadah Korban 1447H/2026M.
Semoga setiap amal kebajikan yang dihulurkan diterima oleh Allah SWT, diberkati dengan ganjaran yang berlipat ganda serta menjadi asbab lahirnya lebih banyak manfaat kepada masyarakat pada masa hadapan.